SAMPAH bagi sesetengah individu mungkin menjadi khazanah bernilai andai dipandang dari sudut artistik. Bagi yang bijak memanipulasi bahan buangan seperti kertas dan plastik, tidak mustahil ia mampu memberikan pulangan berlipat kali ganda malah boleh dijadikan sumber pencarian utama terutama pelajar yang sentiasa berkehendakkan pelbagai hajat.
Penuntut tahun akhir jurusan Seramik di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Hanif Asri, 22, sering mendapat cetusan idea untuk menukarkan kotak-kotak minuman terbuang menjadi robot unik pelbagai bentuk dan corak.
Mula berjinak-jinak dengan dunia seni penciptaan patung kertas atau paper toys sejak mengikuti bidang diploma di universiti yang sama pada tahun 2007, kini jenama Pepatun Artwork yang dikeluarkan olehnya bersama lima orang rakan lain bertukar menjadi fenomena kegilaan remaja urban.
Tidak menduga hasil kreativiti pasukannya yang digelar Pepatun Rangers mendapat perhatian kumpulan-kumpulan muzik remaja seperti Hujan, Hanif mengakui kini permintaan yang diterima mencapai tahap di luar jangkaan.
“Kami disunting oleh kumpulan Hujan untuk berkolaborasi menghasilkan sebuah robot khas untuk album terbaru mereka, Lonely Soldier Boy,” singkapnya dalam pertemuan pertama sewaktu pameran Art Market di FSSR UiTM Shah Alam baru-baru ini. Patung kertas berwarna merah yang direka khas berkonsepkan samurai Jepun dan bersaiz 22cm tinggi itu diberi nama Lonely Soldier Bot dan mengambil masa hampir sebulan untuk melengkapkan keseluruhan ciptaan termasuk penghasilan acuan atau template.
Robot yang dilengkapi beg galas dan kasut yang boleh ditukar-tukar itu juga dijual pada harga pasaran RM90 dan boleh ditempah melalui pesanan dalam laman web rasmi kumpulannya,
www.pepatunartwork.com.Tambah Hanif, kertas khas iaitu orbit paper digunakan untuk penghasilan rekaan terbaru berikutan sasarannya menyuntik elemen elit dan memberi keteguhan dalam struktur asasnya.
“Mulanya kumpulan kami tiga tahun lalu dengan penghasilan patung-patung kain yang diberi nama Pepadolls. Kemudian, kami berkembang dengan berimaginasi untuk mengubah kotak minuman dan straw terbuang menjadi sesuatu yang bermanfaat dan diberikan satu kelas yang tersendiri bagi penggemarnya,” ucapnya ketika bercerita detik awal penubuhan kumpulannya bermodalkan duit sendiri.
Selain terlibat dengan lebih 30 pameran dan jualan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pepatun Artwork yang turut dianggotai Zainuri Ramlan, 22, Hafeezan Sulaiman, 22, Fazly Abu, 23, Ahmad Shafiq Aziz, 22, dan Mohammad Ridhwan Mohamad Nasir, 22, dari pelbagai fakulti itu juga berjaya melebarkan sayap ke Bumi Kenyalang dengan nama premis, Rare Boutique. Langkah itu dipergiatkan sejak setahun lalu semata-mata untuk memenuhi permintaan pelanggan di kepulauan Borneo termasuk dari Filipina dan Kalimantan.
Tempoh operasi yang singkat bagaimanapun telah berjaya melahirkan empat generasi keluaran patung kertas berbeza iaitu Strawbot yang dijual pada harga RM15, Strawbot Anatomic (RM38), Soldier Bot (RM90) dan Soldier Bot Metaphora yang bakal menemui peminatnya dalam tempoh terdekat.